Friday, August 19, 2011

Pakaian Tradisional Melayu

Baju kebaya
Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.

Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.

Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin. Bagi pakaian harian, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah. Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.

Baju Telok Belanga

Baju kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Baju ini boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.Dari segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi. Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju kurung teluk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita pada dasarnya adalah sama kecuali;

a) Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek.

b) Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar panjut Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini.

Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu.

Baju Kurung Cekak Musang

Baju kurung cekak musang adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher baju kurung cekak musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Biasanya ada satu kancing pada kolar dan dua atau tiga lagi kancing pada bukaannya. Butang emas atau emas berbatu permata digunakan sebagai pengancingnya. Kancing yang paling terkenal ialah kancing emas yang dipanggil garam sebuku dan kancing berbatu permata yang dikenali sebagai kunang-kunang sekebun.

Baju kurung cekak musang wanita boleh dipakai dengan seluar atau kain sarung. Seluar yang selalu digunakan ialah kain seluar panjang, seluar panjang dan seluar bambu. Jika mahu, samping dan selendang juga boleh dipakai bersama.

Baju kurung cekak musang lelaki pula dipakai dengan seluar dan bersamping. Lebih segak lagi apabila bertanjak atau bersongkok.

Kurung Kedah

Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari selatan Thailand di mana wanitanya kini memakai baju berleher potongan bujur sireh. Ianya dikenakan bersahaja, ketika bekerja di rumah sebagai pakaian harian. Baju kurung Kedah selalunya diperbuat daripada kain kapas yang berbunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Baju ini dipadankan dengan kain batik sarung atau pelikat yang diikat ke depan dengan motif kepalanya di hadapan.

Baju Melayu

Baju Melayu merupakan pakaian lelaki Melayu dan ia terdiri dari dua jenis iaitu Baju Kurung Teluk Belanga ataupun Baju Cekak Musang. Baju ini biasanya dipakai semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan Sembahyang Jumaat. Selain itu ia juga amat sesuai dipakai pada Hari Raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai Baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila ia mengenakan samping dan songket. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan Sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelekat atau kain tenun sutera.

Celana

Pada masa dahulu, lelaki golongan istana dan golongan berada memakai seluar yang besar dan longgar yang dikenali sebagai kain seluar, seluar Aceh atau seluar Lambok. Kain seluar ada yang pendek dan ada yang panjang. Kain seluar yang pendek hanya separas lutut dan biasanya dipakai untuk bersantai di rumah. Kain seluar yang panjang pula adalah separas betis dan digunakan ketika keluar rumah atau ke majlis rasmi. Kaki dan pinggang kain seluar sangat lebar.

Kain seluar terdiri daripada lapan bahagian yang dicantumkan. Empat bahagian yang di tengah berfungsi sebagai kekek supaya selesa dipakai. Kain seluar dipakai seperti memakai samping; melipat ke hadapan (box-pleat) dan menggulungnya atau mengikatnya dengan tali pinggang.

Kain seluar dilengkapi dengan satu poket. Poket dibuat pada bahagian hadapan sebelah kiri seluar (bukan pada kekeknya).

Kain seluar diperbuat daripada sutera yang berwarna-warni dari kain songket emas atau perak. Bahagian yang paling banyak bunga songketnya ialah bahagian hujung kaki dan bukaan poket.

Satu lagi seluar yang kerap dipakai ialah seluar panjang atau seluar panjut. Seluar panjang juga lebar bahagian pinggangnya. Pada kelepet pinggang seluar panjang ada lubang kecil bagi memasukkan pita atau tali pinggang yang digunakan untuk memanjut seluar ini.

Seluar panjang terdiri daripada empat bahagian sahaja kerana seluar panjang tidak berkekek seperti kain seluar. Kaki seluar panjang menirus ke bawah. Pada bahagian sisi kaki seluar panjang ada bukaan yang dipasangkan butang. Biasanya lima atau enam butang digunakan. Panjang seluar ini mencecah buku lali.

Kain Sarung
Kain sarung Melayu terdiri daripada sebidang kain lebar yang dicantumkan kedua-dua hujungnya. Kain sarung diperbuat daripada benang kapas dan sutera. Ada juga kain sarung yang diperbuat daripada tenunan songket. Biasanya kain sarung songket hanya dipakai apabila ada majlis rasmi atau sebagai pakaian pengantin.
Kaum lelaki memakai kain sarung dengan baju Melayu. Kain sarung dilipat ke hadapan (dari sisi kiri dan kanan; box-pleat) dan digulung. Kaki kain dilepaskan hingga ke buku lali, Jika kain sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan hingga ke paras lutut dan menjadi samping.
Kaum wanita memakai sarung bersama-sama baju kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang. Kaum wanita mengikat sarung dengan pelbagai cara. Iaitu dengan cara membuat satu lipatan yang ditindan ke hadapan badan, atau dengan lipatan-lipatan kecil yang dikumpulkan pada salah satu sisi badan; dikenali sebagai ombak mengalun. Untuk mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita kain digunakan untuk mengikatnya.
Kepala kain atau bahagian yang pada kain itu dihalakan ke belakang. Ada dua sebab mengapa kain itu dipakai di belakang, pertama, untuk memastikan bahagian itu terserlah; tidak termasuk ke lipatan kain (pada bahagian depan) dan kedua, supaya kelihatan sopan apabila membelakangkan orang di mana kepala kain yang cantik itu menjadi tarikan kepada orang yang membelakangkan.
Kaum wanita juga memakai sehelai lagi kain sarung di atas bajunya. Kain sarung ini dipakai dengan tiga cara. Cara pentama dipanggil dagang luar. Dalam cara ini, kain sarung dikumpul di sisi badan dan disauk dengan tangan. Kepala kain dihalakan ke belakang. Cana yang kedua dipanggil kain tudung. Dalam cara ini, kain sarung dipakai meyelubungi kepala. Tujuannya ialah untuk melindungi si pemakai daripada cuaca panas. Kepala kain diletakkan di atas kepala. Cara yang ketiga pula dipanggil kain selempang. Dalam cara ini, kain sarung dikedut menjadi gelungan dan diselempangkan di bahu. Kepala kain diletakkan di hadapan badan.

Samping               
Samping mirip seperti kain sarung, bezanya cuma samping lebih pendek daripada kain sarung. Samping dipakai oleh kaum lelaki Melayu bersama-sama baju Melayu dan seluar panjang. Samping diikat di pinggang di sebelah luar, di atas baju dan seluar. Bahagian kaki samping dilepas hingga ke lutut atau betis.
Pada asalnya samping lelaki adalah panjang hingga ke buku lali dengan bahagian hadapannya disingkatkan bagi menampakkan seluar di bahagian dalamnya. Kini samping yang lebih pendek; kakinya hingga ke paras lutut lebih digemari kerana lebih ringkas dan lebih selesa dipakai.
Di sesetengah tempat, di Johor misalnya, samping dipakai oleh kaum lelaki di sebelah dalam di bawah baju kurung Teluk Belanga mereka. Samping yang dipakai dengan cara ini dipanggil kain samping dagang dalam.
Samping dipakai dengan cara melipat sisi kiri dan sisi kanannya supaya bertindan di tengah-tengah di hadapan badan (box-pleat). Kemudian bahagian yang bertindan itu digulung atau dikemaskan dengan tali pinggang ataupun bengkong.
Selain daripada cara yang disebutkan di atas, samping juga dipakai dengan pelbagai gaya supaya lebih menarik. Antaranya ialah dengan cara melipat-lipatnya di sisi badan dan menyimpulnya dengan simpulan seperti tanduk atau bunga, mengikatnya dengan tali pinggang atau bengkong. Jika tali pinggang digunakan, pending dipasangkan menjadi kepala tali pinggang supaya nampak lebih kemas dan lebih hebat.

Selendang
Selendang biasa adalah lebih kecil dan lebih nipis daripada selendang panjang. Bagaimanapun corak selendang biasa lebih digemari kerana lebih ringkas dipakai. Selendang biasa dipakai dengan menyangkutkannya di atas satu bahu ataupun kedua-dua bahu; menutupi kepala dan bahu; diselempang di bahu kemudian melintasi badan dan diikat di pinggang; disangkut di bahu dengan hujung yang di belakang diselempangkan di belakang badan dan disangkutkan pada tangan (hujung yang satu bagi dilepaskan dihadapan badan) dan pelbagai cara lagi.
Selendang biasa diperbuat daripada tenunan sutera yang sudah menjalani proses ikat dan celup atau dikenali dengan nama kain limar. Sisi selendang biasa dikemaskan dengan tenunan benang emas. Kadang-kadang selendang ini juga disongket atau disulam dengan bunga emas.
Di Kelantan, selendang biasa dipakai oleh kaum wanita sebagai kain kemban semasa mengenakan pakaian Cik Siti Wan Kembang.
Selendang biasa juga turut digunakan dalam upacara lenggang perut iaitu upacara yang dibuat ketika wanita mengandung tujuh bulan. Tujuan upacara ini ialah supaya bayi yang dikandung selamat dilahirkan.

Sekian.... Terima Kasih....



Thursday, May 26, 2011

Seni Tarian Budaya Melayu

MAK YONG
Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat di Raja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan tanan Melayu kesultanan.
KUDA KEPANG
Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung .
 
ZAPIN


Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Tarian Lilin
 
Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.

TARIAN GAMELAN


Tarian klasik ini mula dikesan di empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17.Ia mula di persembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan Pahang dalam tahun 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, putera kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga, dengan Wan Esah yakni adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang. Ianya mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang, mengahwini Tengku Sulaiman yakni putera kepada Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.
Tarian ini yang mana dipersembahkan secara eksklusif oleh penari wanita boleh dipentaskan secara dalaman ataupun persembahan terbuka.Elemen Jawa boleh di lihat dari segi seni tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini adalah sangat cantik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi jenisnya dalam kebanyakan kostum tarian Melayu.

Friday, April 15, 2011

Pantang Larang Dalam Masyarakat Melayu

Pantang Larang Orang Melayu Tradisional merupakan kepercayaan masyarakat Melayu pada masa lampau yang berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakannya adalah untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

                                                     Pantang Larang Wanita Hamil



1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.

2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.

3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan.

4. Dilarang bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.

5. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya.

6. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan.

7. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur.

8. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling.

9. Dilarang melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur.

10. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat.

11. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri.

12. Dilarang tidur waktu tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.

                                                      Pantang Larang Ke Atas Lelaki




1. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

2. Dilarang kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan.

3. Dilarang mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit.

4. Dilarang tidur di tengah padang, nanti emak mati.

5. Dilarang ketawa waktu Maghrib, nanti datang hantu.

6. Kalau tidak tahan berpanas, nanti tunang dilarikan orang.

                                                 Pantang Larang Bayi




1. Bayi tak boleh ditegur jika badan gemuk, cuma katakan ‘semangat’ kerana ditakuti menjadi kurus.

2. Dilarang memicit mulutnya, nanti tiada selera makan.

3. Tak boleh diletak bayi atas lutut, nanti mendapat sakit perut.

4. Sisa makanan bayi tak boleh dimakan oleh ibu bapa, nanti melawan cakap.

5. Tak boleh dicium sewaktu tidur terutama di atas ubun-ubun kepala dan pada pusatnya kerana dikatakan pendek umur.

6. Kain lampin tak boleh direndam, nanti kembung perut.

7. Sewaktu bayi sedang tidur, kadangkala kita melihat dia tersenyum, ketawa dan ingin menangis. Jangan kejutkan kerana dikatakan bayi sedang bermain dengan urinya.

8. Tidak boleh menghembus mulutnya, nanti menjadi bisu.

                                   Pantang Larang Ketika Berdiri

1. Tak boleh kencing berdiri, nanti punggung dijamah hantu.

2. Tak boleh berdiri tertindih kaki, dikatakan akan jauh rezeki.

                                     Pantang Larang Ketika Makan

1. Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding.

2. Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu.

3. Makan pisang kembar, akan beranak kembar.

4. Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu.

5. Makan sisa anak, anak akan degil.

6.. Tidur selepas makan, nanti perut buncit.

7. Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.

8. Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang.

9. Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki.

10. Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua.

11. Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah.

12. Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing.

13. Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh.

14.Makan berlunjur,akan jadi pemalas.

15.Makan mencangkung, payah dapat rezeki.

                                   Pantang Larang Sewaktu Tidur

1. Tidur di muka pintu, alamat dilangkah hantu.

2. Tidur di atas pokok, nanti dimakan langsuir.

3. Tidur di atas sejadah,nanti dihinggap kurap.

4. Tidur selepas makan, nanti ditindih hantu.

5. Tidur melekat nasi di kaki, nanti mimpi hantu.

                           
Pantang Larang Ke Atas Perempuan

1. Dilarang menyanyi di dapur, nanti kahwin orang tua.

2. Dilarang menjahit di badan, nanti tidak lepas hutang.

3. Dilarang memakan leher ayam, nanti leher terkulai di pelamin.

4. Pantang bangun lewat, nanti sukar mendapat jodoh.

5. Dilarang makan nasi kerak, nanti mendapat anak bodoh.

6. Dilarang mencari kutu ditangga, nanti kahwin orang tua.

7. Dilarang mencucuk jarum pada waktu malam, nanti didatangi sial.

8. Dilarang bercermin di depan cermin retak, nanti wajah pucat di malam pertama.

9. Dilarang pakai baju basah, nanti badan naik kurap.

10. Pantang berbual di tangga, nanti dipinang orang di serambi rumah sahaja.

11. Dilarang makan bertindih pinggan, nanti menjadi madu orang.

12. Tak boleh menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki.

13. Dilarang mengerat kuku waktu malam, nanti datang sial.

14. Dilarang makan berubah tempat, nanti berkahwin ramai.

15. Dilarang meletak pinggan di tapak tangan ketika makan, dikhuatiri nanti akan merampas suami orang.

                                           Pantang Larang Kanak-Kanak

1. Dilarang duduk atas bantal, nanti punggung terkena bisul.

2. Tak boleh memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.

3. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

4. Tak boleh jelir lidah, nanti lidah terpotong.

5. Makan kepala ikan, nanti menjadi bodoh.

6. Dilarang mengangkat kaki ketika meniarap, nanti emak mati.

7. Tak boleh menunjuk pelangi, nanti jari kudung.

8. Tak boleh makan dalam gelap, dikatakan makan dengan iblis.

9. Dilarang bermain atau keluar rumah waktu senja, nanti disorok hantu.

10. Tak boleh gigit kain, nanti gigi berulat.

11. Hempedal ayam tak boleh dimakan, nanti susah bersunat.

12. Dilarang bercakap dalam tandas, nanti mata ketumbit.

                         Pantang Larang Di dalam Hutan

1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.

2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.

3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.

4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.

5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.

6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.

7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.

8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.

9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.

                                   Pantang Larang Di Sungai

1. Jika nampak air berpusar, jangan hampiri, alamat buaya bergerak atau mengiring.

2. Jika ikan toman membawa anak, jangan melintas di hadapannya, nanti dilompati ke perut.

3. Jika terdengar suara semacam kerbau di tebing sungai, alamat ada buaya mengawan.

4. Dilarang bawa limau purut, nanti dibaham buaya.

5. Jika suara perempuan terdengar waktu Maghrib, alamat hantu pari sedang berpesta.

6. Jika kail disambar gondang (siput besar) , alamat rezeki mendatang.
              


Wednesday, April 13, 2011

Nasi Lemak


Nasi Lemak merupakan makanan kegemaran terutama sebagai sarapan pada waktu pagi bagi orang Malaysia dan Singapura. Nasi dimasak dengan santan kelapa . Ia biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng dan sambal . Ia adalah masakan popular hingga sekarang .

Kuih Tradisional Melayu

 Akok Berlauk

Akok Berlauk merupakan sejenis kuih seperti buahulu tetapi mempunyai inti daging di dalamnya . Ia berasal dari Terengganu .

Kuih Bingka Ubi

Kuih bingka ubi merupakan sejenis kuih bingka yang diperbuat dari ubi kayu .

Kuih Lopes 

Kuih Lopes merupakan sejenis kuih tradisional Melayu . Ia diperbuat daripada pulut yang dikukus . Ia akan disejukkan . Setelah sejuk , ia dipotong dan dihidangkan dengan kelapa parut kering .

Kuih Lapis

Banyak orang suka makan kuih Lapis .Kuih ini terdiri dari beberapa lapisan dan boleh didapati dalam berbagai warna tetapi biasanya ia berwarna merah .

Kuih Tat Nanas

Kuih Tat Nanas diperbuat daripada tepung dan jem nanas . Rasanya manis . Biasanya , ia dibuat hanya pada musim perayaan seperti Hari Raya .

Makanan Tradisional Melayu - Botok-Botok

Botok-botok adalah sejenis makanan tradisi orang Johor. Seperti juga telur pindang yang hanya boleh disediakan dengan baik oleh orang lama di Johor sahaja. Ianya berbungkus di dalam daun pisang dan apabila dibuka kita akan dapati beberapa potong ikan yang diselaputi dengan banyak rempah ratus. Ikan yang selalu digunakan untuk masakan ini ialah ikan tenggiri atau ikan merah. Rempahnya yang istimewa khabarnya terdiri daripada berbagai- bagai herba termasuk beberapa jenis daun pokok bunga puding.